Wednesday, July 10, 2013

TV3 LABEL MORSI DIKTATOR

10.7.2013 ..
PEMUDA PAS KESAL TV3 LABEL MORSI DIKTATOR

Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan pemberitaan TV3 yang menggelar Presiden Mesir Dr. Mohammad Morsi sebagai seorang diktator. Amat mendukacitakan bagi TV3 sebagai salah satu saluran media perdana negara untuk membuat kenyataan sebegitu yang bunyinya senada dengan kenyataan media Zionis Israel yang rata-ratanya meraikan kudeta tentera Mesir.

Pemberitaan TV3 ini sebenarnya semakin menyerlahkan kebingungan media arus perdana negara menanggapi isu antarabangsa yang melibatkan kepentingan Islam dan umatnya. Pemerintahan Hosni Mubarak ala kuku besi dengan dokongan tentera selama lebih tiga puluh tahun di Mesir tidak dihukum sebagai zalim. Tetapi pentadbiran Dr. Mohammad Morsi yang cuma berusia setahun jagung, ditegakkan pula secara sah melalui pilihanraya bebas kini dilabel diktator oleh TV3?

Dr. Mohammad Morsi bukan sahaja seorang teknokrat yang pernah menimba pengalaman di dunia Barat, beliau juga seorang mursyid yang tekun mendampingi ulama' dan masjid. Malah beliau dan keluarga adalah dari golongan huffaz. Apakah ini ciri seorang pemimpin diktator?

Sepanjang tempoh memimpin Mesir, beliau menolak khidmat kawalan sekuriti peribadi agar rakyat mudah mendekati beliau. Kehidupan beliau amat sederhana, tinggal di rumah sendiri dan mengunakan kenderaan sendiri untuk urusan rasmi. Apakah ini juga sikap seorang pemimpin diktator?
Dikala rejim Mubarak menyekat laluan keluar masuk rakyat Palestin malah bersekongkol dengan Zionis ketika Gaza diserang, kerajaan Mesir di bawah Dr. Mohammad Morsi membuka pintu sempadan bagi membolehkan penduduk Palestin mendapatkan bekalan. Kini rejim baru haram Mesir dilaporkan telah mengetatkan semula laluan keluar-masuk penduduk Palestin dan tindakan ini pastinya menggembirakan rejim Zionis Israel.

Di dalam tempoh 48 jam selepas penggulingan, rejim baru haram Mesir juga telah membubarkan Dewan Senat, menggantung perlembagaan dan menutup stesen media. Malah berpuluh-puluh penyokong Dr. Mohammad Morsi terkorban ditembak oleh tentera. Bukankah ini tindakan diktator dan suatu pengkhianatan kepada pendemokrasian Mesir? Kenapa pihak media seperti TV3 tidak mengecam perkembangan ini?

Dewan Pemuda PAS oleh itu akan menghantar memorandum kepada Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada hari Rabu ini sebagai bantahan kepada pemberitaan TV3 mengenai perkembangan di Mesir. Kami menggesa pihak media di negara ini untuk melaporkan perspektif yang adil dan bukannya terus menjadi penyambung lidah musuh-musuh Islam yang giat mencalar maruah pendokong-pendokongnya..hrkh

Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
PESANAN DR. MORSI DALAM TAHANAN.
MESIR: Dr. Muhammad Morsi yang ditahan oleh tentera di Bangunan Pengawal Republik semalam turut mengirim nota pesanan kepada seluruh penyokong beliau di Mesir.

Dalam kiriman itu, Morsi menulis "Jarak antara kekalahan dan kemenangan adalah kesabaran satu saat. Aku yakin akan kembali kepada rakyat yang telah memberikan mandat melaksanakan amanah ini.”

Pesanan itu dibawa dan disampaikan oleh pemimpin Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Dr. Solah Sultan, di hadapan jutaan penyokong Morsi yang berkampung di hadapan Bangunan Pengawal Republik sejak beliau dijatuhkan secara rampasan kuasa oleh tentera beberapa hari lalu.

Menurut Dr Solah, nota itu diberikan Morsi kepada seorang pengawal dari dalam tahanan dan telah menyerahkannya kepada beliau.

Semalam, di hadapan bangunan ini jugalah dilaporkan lebih 50 penyokong Morsi terbunuh ditembak ketika sedang solat Subuh manakala lebih 300 lagi cedera.

Minta sejadah dan al-Quran

Sementara itu, seorang ulama Khalid Gharib seperti dilapor Islam Post dilaporkan berkata, sepanjang dalam tahanan, Morsi tidak meminta apa-apa selain al-Quran dan sejadah.

Menurutnya, seorang jeneral tentera yang mengawal Morsi bernama Shubhi enam kali datang memujuk Morsi agar menerima rampasan kuasa ini.

“Tapi setiap kali dia memujuk, Presiden Mursi menolak dan mengatakan: ‘Bunuhlah aku, karena itu sangatlah ringan bagiku berbanding terpaksa bersaksi dusta',".Lm

No comments:

Post a Comment