PENGARUH MENANTU DALAM PAS ...
Kehebatan Anak & Menantu dalam PAS
1. Sebentar tadi saya menerima e -mail dari seorang rakan yang merujuk
saya kepada artikel bertajuk "Kebangkitan Pengaruh Menantu, Kali ini
dalam PAS" oleh Amin Iskandar seorang pengarang berita di portal The
Malaysian Insider.
2. Saya melihat artikel itu sarat dengan
spekulasi yang mencetus fitnah. Ia dilihat sengaja dicetus untuk
membantu pihak yang mahu menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang lalu
merosakkan kredebiliti ulama' tersohor yang kini sedang menerajui
kepimpinan PAS. [Sebab itu gambar Tuan Guru Hj Abdul Hadi menjadi
penghias artikel dan nama Tuan Guru juga di serlahkan dengan ketara.]
Saya memilih untuk respon artikel itu kerana nama saya turut diseret
dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah rekaan pengarangnya.
3.
Tiba - tiba sahaja nama Al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit
dan diperkenalkan kepada umum sebagai menantu kepada Tuan Guru Presiden
PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa Ustaz Zaharudin Mohamad
adalah seorang yang sangat low profile, justeru itu ia tidak dikenali
umum sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus
menantu kepada pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah
berstatus menantu kepada pemimpin utamanya sebelum ini malah ada yang
berstatus anak kepada pemimpin utama. [saya tidak perlu
menyenaraikannya]
4. Secara umumnya, semua bapa dan mertua akan
berbangga dengan kehebatan anak dan menantu mereka. Sementelah anak dan
menantu mereka aktif memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi
idaman setiap bapa dan mertua yang berjuang menegakkan Islam untuk
memiliki anak dan menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan
yang hebat juga dalam perjuangan suci ini.
5. Tambahan pula
Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu yang turut
berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan seluruh
anggota jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam. Saidina Ali
Karramallahu Wajhah antara contoh menantu Nabi saw yang sangat hebat
dalam sejarah Islam, berjuang dan mengisi saff kepimpinan ummah di
belakang Nabi saw. Sebagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq Rha sebagai
bapa mertua Nabi saw. yang juga hebat berjuang dan mempertahankan Nabi
saw. [ Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar Rasyidin mempunyai hubungan
mertua dan menantu dengan Nabi saw. dan menduduki posisi kepimpinan
utama sejak zaman hidupnya Nabi saw. ]
6. Perkara yang menjadi
kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa
dan ini perlu dibuktikan apabila berlaku dakwaan. Bukan sahaja anak
dan menantu, malah mereka yang tidak berbau bacang pun, jika melakukan
penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mestilah dibuktikan apabila
terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka tindakan sewajarnya mesti
diambil.
7. Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini
cuba mengaitkan Ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam
UMNO yang kononnya menjadi faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi.
Teori konspirasi itu berlaku dan digerak kuat oleh Tun Dr. Mahathir
untuk menjatuhkan Pak Lah dengan memukul Khairy habis - habisan bagi
membantu Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN. Akhirnya Pak Lah
terpaksa mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada Najib.
Ironinya, apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui
pilihanraya ke 13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik
menjadi Menteri Belia dan Sukan.
8. Ertinya kejatuhan Pak Lah
adalah faktor kelemahan dirinya sendiri dan Khairy bukanlah sasaran
sebenar. Realiti ini dapat dilihat sejak awal selepas peralihan kuasa
Pak Lah kepada Najib, Khairy tidak lagi menjadi papan sasar mana - mana
pihak dalam UMNO mahupun dari pihak Tun Mahathir sendiri. Kerana
matlamat utama mereka hanya mahu menjatuhkan Pak Lah dan Pak Lah sudah
jatuh. Maka tidak mengapa Khairy terus mengukuhkan penguasaan dan
kedudukan politiknya dalam UMNO dan BN.
9. Jika teori
konspirasi ini diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar sebagai main
point dalam artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya Ustaz
Zaharudin Mohamad bukanlah sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan Guru Hj
Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sebagai sasaran mereka.
Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi ?
10. Saya tidak percaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak
Lah walaupun telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh
individu tertentu untuk melabelkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah Pak
Lah versi PAS. Sekali lagi saya kira tiada ahli PAS yang celik Gerakan
Islam percaya dan menerima label yang diberi sedemikian rupa. Sebab itu
percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus lenyap ditelan jerebu
yang melanda negara.
11. Apabila timbul isu kebangkitan
pengaruh menantu ini dan percubaan menyamakan ustaz Zaharudin Mohamad
seperti Khairy dalam UMNO membuatkan saya tertanya - tanya dan tercari -
cari siapa yang berperanan sebagai Tun Mahathir untuk memukul Ustaz
Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul Khairy dahulu ? dan siapa pula yang
akan mengambil tempat Datuk Seri Najib untuk dinaikkan kalau mereka
berjaya menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi kelak ?
12. Saya
berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar jamaah ini dipelihara
olehNya dari musibah dan porak peranda sedemikian rupa. Semoga mereka
yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan fitnah itu dikurniakan
petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi yang
dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu
tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.
13. Saya
mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau kemukakan kerana
ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan maklumat
sedemikian kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS yang boleh
akses maklumat dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut dari jalur
internet atau ada individu tertentu yang salurkan maklumat kepada
beliau, sekali lagi saya nafikan bahawa ia adalah suatu yang benar
sebaliknya ia adalah salah jua tohmahan dan jika Amin Iskandar ingin
meneruskan spekulasinya, beliau boleh dan mesti mengemukakan bukti. Jika
tidak, ia kekal sebagai fitnah.
Nasrudin bin Hassan
No comments:
Post a Comment