SIKAP YANG BAIK
Sikap Yang Baik
Riwayat: Riwayat Ibnu Abi Dunya
Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat
kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah
menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan
daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi
makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk
menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di
dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya
sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi
keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang
berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat
saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan
kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang
buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.
Huraian Hadith:
i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari
Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala,
kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Semua ini
akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan
keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang
dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam
hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang
lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan
seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila
disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan
melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat
terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang
pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali
dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya
kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah
Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
v)
Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya
iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.
No comments:
Post a Comment