KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
“GESAAN DIWUJUDKAN SATU SURUHANJAYA BEBAS POSTMORTEM
BAGI MENYIASAT PERJALANAN PROSES
PILIHANRAYA UMUM KE 13”
7 Jun 2013 / 28 Rejab 1434 H
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengulangi kenyataan yang pernah
dibuat sebelum ini bahawa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang baru
sahaja berakhir itu diadakan dalam keadaan penuh keraguan dan kelemahan
proses yang paling ketara dalam sejarah pilihan raya negara Malaysia.
Berbagai persoalan timbul dari proses sebelum dan semasa pilihanraya,
termasuklah sistem demokrasi yang jelasnya tidak berlaku adil kepada
Pakatan Rakyat dari aspek penggunaan media cetak dan elektronik arus
perdana yang berkempen secara terbuka bagi pihak Barisan Nasional.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin membuat cadangan supaya diadakan satu
post mortem yang menyeluruh terhadap semua aspek PRU13 ini. Hakikatnya
ialah semua pihak dari Pakatan Rakyat, NGO, dan individu rakyat
Malaysia, termasuklah dari parti Barisan Nasional sendiri juga mengakui
bahawa wujudnya banyak kelemahan yang boleh diperbaiki dalam menguruskan
PRU sebagai pelengkap kepada sistem demokrasi yang diamalkan di
Malaysia. Pihak kerajaan sendiri juga telah membuat kenyataan supaya
diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen, dan ini
telah memberi gambaran bahawa kedudukan SPR sekarang belum bebas
sepenuhnya. Tindakan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tidak
mempunyai apa-apa erti sekiranya kita tidak tahu punca permasalahan yang
timbul.
Oleh itu PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan
satu Jawatan Kuasa Bebas atau satu Suruhan Jaya Bebas Postmortem PRU13
yang boleh menyiasat secara terbuka dan telus bagi mendapat maklumat
kelemahan, salah laku, kepincangan dari semua pihak. Hanya setelah
kelemahan-kelemahan ini diketahu baharulah pembaikan secara menyeluruh
dapat dilakukan.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment