Dada langit masih suram dengan hujan merembes perlahan memukul atap
rumah warga kemaman, Dungun serta daerah lain yang masih diserbu
tengkujuh. Banjir yang melanda kali ini telah memunggah puluhan ribu
rakyat ke pusat pemindahan banjir. Bak garuda melanggar jajahan, rumah
kediaman seperti diterjah tsunami dengan kemusnahan tak terperi, suara
tangisan anak-anak yang ketakutan dan kelaparan bertingkah-tingkah
merebut ruang di tempat pemindahan banjir. Langit seperti menumpahkan
murkanya pada manusia yang tak henti menuai dosa dan meracik kebejatan
noda.
Banjir besar ini seperti ingin mengingatkan kita tentang
keberadaan Tuhan yang sering sirna daripada ingatan manusia. Korupsi,
mengabaikan solat, melecehkan syariat, penzinaan, penyelewengan
seolah-olah sudah tidak mampu dielakkan insan. Banjir menampar manusia
yang leka dan menunjal sisi terang akal kita juga bahawa Tuhan hanya
menjentik ingatan kita supaya segera bermuhasabah.
Saya
menyemak kisah duka banjir kali ini di medan operasi dan juga fenomena
media baru yang turut menambah perisa kepada tragedi banjir kemaman,
Kuantan serta daerah lain. Nama Unit Amal atau pernah menggalang jolokan
Tentera Merah kelihatan begitu hampir dengan relung hati mangsa banjir.
Tentera Merah juga pernah mencuit hati mangsa banjir di Johor pada
tahun 2007. Membuka ruang fikir masyarakat Johor bahawa gerakan Islam
bukanlah jamaah takfir yang membina tembok kaca dengan masyarakat
seperti yang cuba digambarkan oleh media perdana.
Rakyat Johor
kelihatan kecewa dengan agensi kerajaan yang kelihatan agak lemah
menjangkakan banjir besar yang akan menimpa Johor, bumi ditanam uri Umno
pada tahun 1946. Sebab itu tidak mudah merombak keyakinan masyarakat
Johor kepada parti pragmatis sekular itu sejak puluhan tahun. Tentera
Merah yang datang dari seluruh negara mengucur keringat, membersihkan
kediaman, memasak makanan, menyelamatkan mangsa banjir serta menenangkan
mangsa.
Pasca banjir di Wilayah Johor pada tahun 2007 itu
akhirnya membuka ruang untuk masyarakat Johor membuang stigma mereka
kepada PAS. Rasa skeptikal terhadap bendera bulan berjaya dirobohkan
malah dibuktikan negeri sarat adab Melayu itu menyaksikan lonjakan undi
PAS sebanyak 200 peratus diantara 2004
sehingga PRU ke 12 pada tahun 2008.
Saya konsisten selama ini bahawa gerakan kebajikan adalah pakej lengkap
kepada gerakan Islam sebagai mana lantunan pada cerminan dakwah di
zaman Ar Rasul S.A.W dan juga generasi Al Quran.
Tentera Merah
atau Unit Amal wajar diberikan pujian kerana para amilin yang bergabung
di dalamnya dicetak khusus untuk berhadapan dengan situasi cemas serta
mempunyai tahap disiplin lima bintang. Tiada sebuah pun gerakan relawan
yang mampu menyaingi reputasi Unit Amal kecuali di luar negara seperti
Al Khidmat di bawah naungan Jamiat Islami di sub kontinen.
Anggota Amal dengan pelbagai jalur latar belakang, ada antara mereka
graduan kejuruteraan, perubatan, sains sosial, pengajian Islam
sehinggalah mereka yang mempunyai tahap asas seperti lulusan SRP.
Kepelbagaian inilah yang telah melahirkan kekuatan dan jati diri mereka
yang tersendiri. Masyarakat yang awal benci kepada gerakan Islam akibat
kurang maklumat, akhirnya terpanar melihat anak-anak muda berbaju merah
mendirikan solat berjemaah walaupun guratan wajah mereka penat akibat
kurang rehat.
Wira tak didendang ini bersilih ganti datang ke
tempat lokasi bencana tanpa sebarang upah atau tanda jasa. Keikhlasan
mereka inilah akhirnya membuahkan amal yang paling manis sehingga PAS
tersimbah dengan pujian masyarakat kerana mempunyai anak-anak muda yang
pandai menyantuni massa.
Tentera merah dengan berbaju lencun
keringat itu juga tak pernah lelah membantu manusia tanpa mengira status
sosial. Teringat saya, ungkapan Ustaz Idris Ahmad semasa beliau
menggalang jawatan Timbalan Ketua DPPPM , "jika bahtera jamaah ini
berbondong masuk ke syurga, maka anggota amal adalah kelompok pertama ke
syurga. Mereka tak disibukkan dengan mencari nama, tak bercadang untuk
menjadi calon pilihan raya, tak bercadang untuk menjadi calon pilihan
raya, tak bercadang untuk menjadi AJK penting, disuruh bangun mereka
bangun, disuruh duduk mereka duduk, tiada orang mampu seikhlas anggota
amal,"
Kuantan dan Kemaman akan menjadi saksi kehebatan khidmat
Tentera Merah ini mengucur keringat. Saya di birai jendela rumah dengan
hujan bak dentingan halpa yang mengasyikkan, tiba-tiba terbayang sosok
Tuan guru Abdul Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim sedang melambai tangan pada
rakyat yang menangis sesenggukan gembira. Tokoh ini mengangkat sumpah
sebagai Menteri Besar Terengganu dan juga Pahang selepas PR menang besar
di negeri Pantai Timur itu dalam PRU ke-14. InsyaAllah, fajar
kemenangan akan menyinsing dan saatnya begitu hampir.
Jutaan
penghargaan buat tentera Merah Amal yang telah memecahkan tembok kaca
gerakan Islam dan juga masyarakat negara ini. Beramal kerana Allah
adalah pelaksanaan kata-kata yang tak sekadar tercetak di aksara kertas.
Maju terus ke medan operasi wahai para amilin kerana kemenangan itu
sangat hampir di tanah air kita ini.
No comments:
Post a Comment