Wednesday, June 5, 2013

SPR DAN KEPERCAYAAN AWAM

Suruhanjaya Diraja Bagi Mengawalselia Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) 

Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian bahawa sebarang inisiatif untuk memperbaiki proses pilihanraya perlulah bermula dengan menjunjung tuntutan Perlembagaan Malaysia yang menggariskan peri mustahak bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendapat kepercayaan awam. Oleh itu, pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri untuk memindahkan kawal selia dan urus tadbir SPR dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adala satu langkah positif sebagai usaha meningkatkan ketelusan di samping terus menjamin kedudukan SPR sebagai badan bebas dan berkecuali. Namun kami berpandangan ada wajar sekiranya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat semua aduan penyelewengan didalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu. 

Mengambilkira pengalaman dari perjalanan Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya yang diwujudkan pada Oktober 201, hasil kurang memberangsangkan kerana keputusan Jawatankuasa Khas Parlimen ini tidak bergerak di atas konsensus penuh semua ahli parlimen yang terlibat bagi mencerminkan semangat bipartisan sebenar. Tetapi ianya berpihak kepada pandangan dan pendirian wakil Ahli Parlimen dari Kerajaan sahaja walaupun ada beberapa perkara diterima masuk sebagai resolusi yang disediakan jawatankuasa tersebut. 

Antara kemestian Suruhanjaya Diraja ini kelak termasuklah mencadangkan pindaan perlembagaan yang berkaitan, keanggotaan baru SPR dan terma-terma perjawatan bagi dibahas dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 korum parlimen. Persetujuan Parlimen ini kemudiannya mestilah dibawa ke Majlis Raja-Raja dan mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. 

Suruhanjaya Diraja ini juga perlulah membuka peluang kepada pihak-pihak berkepentingan seperti pakar perlembagaan dan perundangan, NGO-NGO, para ulama', kumpulan belia dan mahasiswa untuk memberi pandangan dan makluman balas agar cadangan dan resolusi dirangka kelak adalah lebih inklusif. 

Pada masa yang sama, kita berharap agar pemerintah ikhlas di dalam membebaskan SPR dengan memberikan Suruhanjaya Diraja ini wewenang membuat inisiatif pembaharuan tanpa sebarang kekangan peraturan, birokrasi dan kewangan yang seringkali menghambat usaha-usaha pembaharuan terdahulu. 

PAS menerusi wakil-wakil kami di Parlimen bersedia untuk memainkan peranan di dalam memastikan keberkesanan jawatankuasa ini kelak di samping terus menuntut akauntabiliti pihak-pihak berwajib di dalam menggiatkan usaha mengembalikan kredibiliti SPR lantas memperbaiki proses pilihanraya di negara kita. 

Mencorak Masa Depan

Nasrudin Hassan 
Ahli Parlimen Temerloh 
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia

No comments:

Post a Comment