Jangan Gopoh Memburu Kemenangan Islam
Jangan Gopoh Memburu Kemenangan Islam
Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat beliau berkata, "Kami telah
mengadu kepada Baginda S.A.W sedang Rasulullah pada ketika itu sedang
berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban. Maka kami bertanya;
Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah
tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?"
Maka berkatalah Rasulullah
S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas
digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang
gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat
badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan
tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada
agama. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam)
sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti
melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang
gopoh." (Riwayat Bukhari)
Keghairahan untuk meraih kemenangan
perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita
Muhammad S.A.W tentang bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan.
Hadis yang saya bawakan adalah sebagai renungan kita. Ia memaparkan
bagaimana sikap Nabi S.A.W di saat berhadapan dengan keadaan yang sangat
kritikal, apabila para sahabat sering diseksa dengan dahsyat oleh kaum
kuffar musyrikin.
Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang
disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi
panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan
tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh kepada diri Khabbab. Satu
ketika Khabbab inilah yang pergi bertemu Nabi S.A.W, ketika Baginda
sedang beristerehat di tepian Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak
berdoa kepada Allah agar kita menang?"
Sahabat Pemuda sekalian!
Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan
dahsyat oleh musuh-musuh Allah dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya
ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan
prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah
mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba nilai
perjuangannya dijawab oleh Baginda Rasulullah bahawa orang terdahulu
lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah sehingga ada yang
digergaji kepalanya, sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan
sikat besi sehingga bercerai-berai daging daripada tulangnya, namun
mereka tetap mempertahankan agama.
Kemudian Baginda Rasulullah
melanjutkan teguran, kamu yang datang meminta-minta agar di doakan
kemenangan, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti
kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.
Menghayati Sifat Kemenangan
Kemenangan adalah suatu yang dianugerahkan oleh Allah Taala. Ianya
(kemenangan) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada
kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah. Demikianlah sunnatullah
terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.
Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa
tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak.
Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama
ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam
cengkerang telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini.
Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia
terpaksa menunggu satu tempoh matang untuk menetas dan akhirnya hidup
membesar seperti warga ayam yang lain. Andai kata anak ayam tersebut
tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba
untuk memecahkan cengkerang telurnya dari dalam dengan paruhnya yang
masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.
Sikap tidak
sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat
anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang
telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluar berderailah anaknya
tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang
baginya hidup. Anak ayam itu akan mati angkara sikap gopoh ibunya.
Memahami Syarat Kemenangan
Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun
kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar
menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala
setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik
dan berkesan.
Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita;
- Gigih berjuang.
Ikhtiar melepasi segala cabaran.
Ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan.
Tabah mendepani ujian serta halangan dan;
Berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
PRU-13 yang sedang hangat menjadi bual bicara kita saat ini, saya
tegaskan bahawa pemenang PRU yang sebenar adalah yang yakini Islam, yang
ikut jalan Rasul dan yang ikhlas kepada Allah. Selainnya adalah tewas
walau mara ke Putrajaya. Ayuh luruskan langkah.
Syukurlah, PAS
berjuang dengan meyakini Islam, bertekad mendaulatkan pemerintahan yang
digariskan oleh Allah dan al Rasul dan sentiasa mengingatkan para
pejuangnya agar sentiasa membina keikhlasan kepada Allah.
Syukurlah, PAS tidak nasionalis, tidak sekularis, tidak materialis dan tidak berjuang untuk dunia semata-mata.
Mari bersyukur kepada Allah, kita dianugerah berjuang bersama PAS. Itu
nikmat tak terperi daripada-Nya. Mari berusaha meyakinkan umat Islam
tanpa kenal putus asa agar menerima Islam sebagai cara hidup pilihan
terbaik masa kini. Kepimpinan adalah amanah agama yang besar.
UNDILAH PAS
- Ustaz Nik Mohamad Abduh
No comments:
Post a Comment