Friday, June 28, 2013

DIARY PARLIMEN P088 ...hari ke 2



02 ~ Diary P.088 di Parlimen ( dari FB P 088 - untuk di kongsi )

Hari iniً adalah hari pertama sidang dewan untuk membahas Titah Di Raja setelah kelmarin, dengan penuh istiadat menyaksikan pembukaan atau perasmian Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al Mu'tasimubillah Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah. 










Seperti biasa sidang bermula tepat jam 10.00 am dengan beberapa soalan yang di kemukakan untuk dijawab lisan oleh pihak kerajaan sebelum bahas Titah SPB Yang Di Pertuan Agong yang bermula jam 11.30 am.

Saya mengambil bahagian untuk mengemukakan soalan tambahan terhadap jawapan yang dikemukakan oleh Menteri Pendidikan 2 Datuk Seri Idris Jusoh berhubung soalan Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan :

(a) apakah langkah terbaru Kementerian dalam menanam semangat perpaduan dan cintakan negara di kalangan pelajar; dan

(b) apakah Kerajaan berhasrat melaksanakan semula Sekolah Wawasan.

Soalan tambahan saya :

Perpaduan mengenai pendidikan masih lagi dibimbangi hingga ke hari ini walaupun gesaan ini telah disuarakan dalam Penyata Razak 1956. Sejak tahun 2008, terdapat suara-suara daripada UMNO (Mukhriz) untuk menghapuskan Sekolah Vernakular. Hasrat ini terus disuarakan baru-baru ini oleh sekumpulan NGO dan kemudiannya dibantah keras oleh pimpinan komponen BN sendiri.

Soalan saya, apakah sebenarnya pendirian kerajaan terhadap penubuhan dan perkembangan Sekolah Vernakular ini dan adakah penubuhannya menjadi penghalang utama kepada Sekolah Wawasan?

Namun Menteri tidak menjawab soalan saya dengan betul dan tepat.

Mengemukakan soalan tambahan itu merupakan suara sulung saya yang bergema dalam dewan yang mulia ini sebelum saya mengambil bahagian dalam kesempatan - kesempatan lain untuk memberi pandangan dan membahaskan idea dari ahli - ahli Yang Berhormat.

Meneliti suasana perbahasan titah Di Raja, saya jangka akan turut membahaskan isu - isu demokrasi negara dan pendidikan.

Cuma saya mengharapkan suasana perbahasan berjalan dengan baik tanpa laungan, ejekan dan persendaan sehingga hilang suasana perbahasan ilmiah yang berasaskan fact and figure. Saya menyuarakan secara umum kepada semua ahli dewan sebagai orang baru. Kalaupun itu budayanya atau kebiasaannya sebelum ini, saya harap ianya dapat di"ubah" sebagaimana yang sering diungkap oleh Yang Di Pertuan Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin.

Mungkin kerana saya tidak biasa dengan suasana hingar - bingar dalam dewan apabila anggotanya saling bertingkah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sedap didengar, tetapi harapan saya jangan lah sampai hilang suasana untuk menghayati dan mengamati hujjah dan idea yang dikemukakan. Boleh sahaja mana - mana pihak tidak bersetuju dengan pandangan pihak yang lain, tetapi biarlah dalam suasana terkawal berpaksi kepada peraturan dewan.

Saya lihat suasana hingar hari ini ialah bermula dari pihak Ahli Parlimen Lenggong yang bangun berucap untuk mengusulkan junjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, lantang membidas dan menyinis pihak Pakatan Rakyat tetapi langsung tidak membuka ruang bagi mana - mana ahli parlimen Pakatan Rakyat mencelah, mohon penjelasan dan membuat pencerahan terhadap dakwaan yang dilontar.

Saya sendiri lebih dari 4 kali berdiri untuk memohon laluan bagi mendapatkan penjelasan dari pihak Lenggong khasnya dan kerajaan amnya terhadap beberapa dakwaan seperti kononnya Pakatan Rakyat hipokrit kerana menolak keputusan PRU tetapi datang mengangkat sumpah sebagai ahli dewan.

Insyaallah perkara ini akan saya cuba jelas dan jawab dalam kesempatan saya berucap kelak insyaallah
<

No comments:

Post a Comment