22.5.13 @ Rabu
a]
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah swt Tuhan sekelian Alam dan Tuhan
yang maha Mencipta, atas kemenangan yang dikurniakan kepada Pakatan
Rakyat di P.088 Temerloh.
b] Jazaakumullah Khairan jaza' saya
ucapkan kepada semua saf pimpinan PR, para petugas yang bertungkus lumus
dan juga kepada semua yang membantu samaada secara langsung atau tidak.
Sokongan dan sumbangan anda semua sangat - sangat saya hargai.
c] Tahniah kepada semua pengundi yang memberi sokongan kepada PR di
P.088 Temerloh. Semoga Allah swt memberkati anda semua dan sama -
samalah kita berganding bahu berfikir dan bertindak untuk kebaikan
semua warga Temerloh dan penduduknya tanpa mengira latar belakang
bangsa, kaum, agama dan ideologi politik. Kita semua satu rumpun yang
mesti bergandingan.
d] Salam persahabatan kekal saya hulurkan
buat sahabat baik saya Dato' Saifudin Abdullah mantan MP Temerloh. Apa
pun keputusan pilihanraya, ia tidak menjejaskan hubungan baik saya
dengan beliau.
e] Kemenangan ini bukan untuk saya tetapi ia
adalah untuk dan milik rakyat Temerloh keseluruhannya. Kemenangan yang
akan membawa 1001 erti kepada seluruh pengundi, PR dan saya sendiri
dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab perjuangan ini. Semoga Allah
swt memberi petunjuk dan kekuatan buat diri ini agar mampu menunaikan
tanggungjawab besar lagi berat terhadap agama, rakyat dan negara.
f] Saya tetap mengharapkan sokongan, dokongan dan tunjuk ajar dari
semua pihak. Jika saya benar bantulah saya, jika saya betul sokonglah
saya sebagaimana jika saya lemah maka perkuatkan saya, jika saya salah
perbetulkan saya. Jika saya dusta luruskan saya. Benar adalah amanah dan
dusta adalah khianat.
g] Saya memberi komitmen insyaallah
untuk merealisasi slogan "Temerloh di Hati Kome" dengan menjadikan
Temerloh sebagai "rumah ketiga" saya selepas jamaah dan keluarga saya.
Insyaallah saya akan membahagikan masa dan tenaga sebijak mungkin untuk
menunaikan tanggungjawab saya terhadap "tiga buah rumah" saya ini.
h] Menyedari kemenangan PR di P.088 tanpa memiliki kerajaan adalah
sangat mencabar disamping terhad keupayaan kuasa dan peruntukan, saya
akan menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat Temerloh semampu
mungkin dengan mengharap petunjuk dan bantuan dari Allah swt. Insyaallah
ia juga akan menjadi ringan dengan dokongan bersama anggota masyarakat
Temerloh.
i] Ketepikan perbezaan pendapat dan ideologi politik
yang hangat suhunya di musim pilihanraya. Kini masa kita bangunkan
masyarakat, makmurkan daerah dan sejahterakan rakyat Temerloh. Kini saya
adalah MP kepada Temerloh bukan MP kepada PAS atau PR semata - mata.
Prinsip dan tugas saya ialah berlaku adil kepada semua dan telus dalam
urusan insyaallah.
j] Akhirnya saya mengambil kesempatan untuk
memohon maaf sebanyak - banyaknya dari semua pihak andai terdapat salah
dan silap dari saya , secara sedar atau tidak terutama sepanjang musim
kempen PRU ke 13 tempohari. Semoga kita akan lebih erat dan mesra
insyaallah.
Salam Perjuangan dari saya buat semua.
Temerloh di Hati Kome
Nasrudin Hassan
Ketua DPP Malaysia / Ahi Parlimen P088 Temerloh .

No comments:
Post a Comment