Tuesday, May 21, 2013

KABINET TIDAK MATANG ...

ZAHID HAMIDI LAMBANG KABINET TIDAK MATANG DAN CERDIK

(20 Mei 2013)

1. Baru seminggu dilantik sebagai Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sudah mula menunjukkan taring jantan dan kuasa besarnya sebagai pemimpin kerajaan. Dengan angkuh dan bongkak beliau menyarankan agar mereka yang enggan menerima sistem pilihanraya Malaysia supaya meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari.

2. Kenyataan Datuk Seri Dr Zahid bersifat dendam, emosi tidak bertempat dan kurang cerdik. Beliau menghukum dengan pandangan yang kabur tanpa melihat keseluruhan pandangan rakyat. Beliau tidak tahu sekiranya rakyat sedar perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan bersih, mustahil rakyat akan berani dan sanggup turun ke Perhimpunan ‘Black 505’ dengan berhujan, tanpa upah dan dalam notis yang singkat. Jika rakyat menerima bahawa PRU ke 13 berlangsung tanpa penipuan, rakyat tidak akan turun ke jalan raya menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

3. Sepatutnya Datuk Seri Dr Zahid berterima kasih kepada rakyat kerana rakyat masih sayangkan negara dan bersikap patriotik terhadap negara. Rakyat sanggup berhimpun kerana mereka hanya mahukan sistem pilihanraya yang adil, bersih dan telus. Rakyat juga tidak mahu menerima sistem pilihan raya berlangsung dengan penipuan, penyelewengan dan kecurigaan. Ia akan memberi kesan terhadap kerajaan dan pemimpin negara yang dipilih. Rakyat tidak mahu pemimpin yang menipu, korup, zalim dan ditolak oleh rakyat sebagai pemimpin mereka. Rakyat merasa bimbang negara menuju kemusnahan jika dipimpin oleh pemimpin seperti ini.

4. Pemimpin seperti Datuk Seri Dr Zahid adalah contoh pengamal politik rimba serta politik primitif yang telah ketinggalan zaman. Beliau juga telah memberi suatu gambaran bahawa kabinet seangkatannya tidak cerdik, tidak matang, jumud, dan tidak berfikiran jauh. Kabinet Perdana Menteri kali ini hanya tangkap muat serta melengkap kuota parti pemerintah tanpa melihat kewajaran seseorang pemimpin itu dilantik.

5. Beliau sepatutnya belajar dari Sdr Khairy Jamaluddin yang walaupun mentah dari sudut pengalaman, tetapi akalnya panjang. Beliau tidak melatah dan bersikap dendam terhadap musuh politiknya sebaliknya bersikap ‘gentle’ dengan mendamaikan, bukan menjarakkan jurang politik. Inilah politik baharu yang diinginkan oleh rakyat dan bersikap terbuka dalam sesuatu perkara, bukan menghukum membabi buta.


HJ NASRUDIN HASSAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment