23.5.13
Bantah
Penyelewengan Tolak Keganasan.
1. Penipuan dan penyelewengan wajar dan mesti ditentang habisan. Dewan Pemuda
PAS Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang penipuan dan kepincangan
dalam pengendalian serta pengurusan pilihanraya negara kita. Kebangkitan rakyat
yang sedar dan insaf menolak penipuan dan penyelewengan
adalah satu rahmat Allah swt buat negara ini agar satu masa kelak, tiada lagi
rakyat yang hanya bungkam dan bisu bila berdepan penipuan dan penyelewengan
terutama disaat sistem demokrasi yang semakin tercemar.
2. Bantahan dan penentangan yang sedang diterjemahkan
oleh rakyat hari ini selayaknya diberikan hak oleh pihak kerajaan menepati
peruntukan perlembagaan yang membenarkan rakyat bersuara dan berhimpun secara
aman. Sewajarnya pihak PDRM bersama rakyat menolak penipuan dan penyelewengan
yang kian meruntuhkan segala sendi demokrasi dan peradaban negara ini dengan
membantu kawalan keamanan, keselamatan rakyat dan provokasi yang mencetus huru
hara.
3. Telah terbukti pada setiap perhimpunan yang
dianjur dan disertai oleh rakyat amnya dan Pakatan Rakyat khasnya adalah aman
dan terkawal jika tiada sebarang provokasi termasuklah tindakan keras
menyuraikan himpunan oleh pihak polis dalam beberapa insiden sebelum ini.
Rakyat sebenarnya bukan anti kerajaan, bukan juga anti polis dan bukan pula
anti keamanan, tetapi mereka anti korupsi, anti penipuan dalam pilihanraya dan
penyelewengan dalam pengurusan sistem demokrasi.
4. Kami tegas menolak keganasan. Menolak huru hara
dan kacau bilau kerana kami juga sayangkan negara dan seluruh rakyat yang
bernaung dalam negara ini, justeru itu kami berjuang untuk masa depan agama,
negara dan rakyat. Kami tidak akan turun ke jalanraya untuk mencetus keganasan
dan keresahan rakyat serta mengganggu keamanan masyarakat sebagaimana yang
telah ditegaskan oleh Al Fadhil Yb. Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz,
Timbalan Ketua DPP Malaysia kelmarin. Namun kami turun bersama rakyat secara
aman untuk bersuara dan menyatakan pendirian kami disamping mendesak kerajaan
supaya benar - benar memperbaiki sistem demokrasi negara.
5. Kerajaan yang didokong oleh UMNO dan BN mesti
menginsafi perkara ini. Jika 53 % dari jumlah keseluruhan pengundi tidak
bersama UMNO dan BN, justeru ia adalah signal yang sangat jelas bahawa banyak
perkara yang dilakukan oleh kerajaan UMNO dan BN tidak disenangi oleh rakyat
terbanyak termasuk penipuan dalam pilihanraya dan penyelewengan dalam sistem
demokrasi.
6. Apabila anak muda melepaskan isihati mereka
untuk turun ke jalanraya, penyelesaiannya bukan menangkap Adam Adli kerana
selepas ini akan lahir beribu lagi Adam Adli jika masaalah pokok tidak diatasi
segera iaitu penipuan dalam pilihanraya dan penyelewengan sistem demokrasi
negara kita. Adam Adli mesti dibebaskan. Jika kita tidak mahu dan tidak
bersetuju anak - anak muda ini turun ke jalanraya, penyelesaiannya ialah
kerajaan mesti luruskan pilihanraya sehingga tiada lagi manipulasi.
7. Dewan Pemuda PAS Malaysia komited menentang
manipulasi dan penipuan dalam pilihanraya. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak
berpeluk tubuh dan berdiam diri dengan dakwaan-dakwaan penyelewangan serta
salahlaku pilihanraya baru-baru ini. Kita mengambil langkah menggunakan saluran
undang-undang. JUHAM adalah agensi utama dibawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang
bekerja keras mengumpul bukti penipuan dan penyelewengan untuk failkan petisyen
pilihanraya di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia / YB P 088 ..

No comments:
Post a Comment