MESIR : Wajah Sebenar Amerika Terdedah
6.7.2013
Saya membaca berita penahanan bekas Al-Mursyidul Am khwanul Muslimin,
Sheikh Muhammad Mehdi Akif oleh tentera Mesir dengan penuh kesal dan
simpati. Beliau yang sudah berusia lebih 80 tahun sewajarnya tidak perlu
ditahan sedemikian rupa, apalah sangat kudrat seorang tua yang sudah
uzur untuk menentang kekuatan tentera Mesir? Teringat saya pertemuan
dengan beliau ketika beliau menziarahi kami di Kelantan tahun lepas.
Pada waktu itu turut menyambut beliau ialah Almarhum Ustaz Yahya Othman
yang juga telah uzur namun menggagahkan dirinya untuk meraikan kehadiran
orang penting di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin tersebut.
Hakikatnya inilah dia wajah sebenar Amerika dan Israel. Merekalah yang
melaungkan demokrasi dan merekalah yang menodainya. Morsi ditabalkan
sebagai presiden melalui pilihanraya yang sah bukan melalui revolusi
jalanan, sewajibnya beliau diberikan peluang untuk mentadbir sehingga
tamat penggal. Namun, musuh-musuhnya tidak senang duduk dan tidak
mungkin dapat membiarkan pentadbiran Morsi berjalan lancar. Justeru
tidak pelik jika Amerika yang kononnya selama ini menjadi juara
demokrasi tiba-tiba menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera
di Mesir. Tidak terkecuali pihak yang memberikan sokongan ialah
negara-negara yang terkenal selama ini menjadi alat Amerika di Timur
Tengah.
Allah SWT seringkali mengingatkan kita di dalam Surah
al-Fatihah yang kita baca di dalam solat bahawa golongan Yahudi dan
Nasrani ialah golongan yang sesat dan dimurkai. Padahal Allah SWT boleh
menggunakan kalimah Yahudi dan Nasrani di dalam surah tersebut, namun ia
tidak berlaku. Allah SWT menggunakan kalimah yang menandakan sifat
mereka iaitu golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai. Ia jelas
menunjukkan bahawa sekalipun Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW
telah pupus namun sifat mereka diwarisi oleh anak cucu mereka sehingga
ke hari kiamat.
Israel mewakili Yahudi dan Amerika mewakili
Nasrani sentiasa beruasaha memadamkan cahaya Allah SWT. Mereka lupa
bahawa kebangkitan Islam ini umpama air yang mengalir deras. Jika
disekat di tepi, ke tengahlah ia mengalir, jika dihalang di tengah, ia
menerobos ke atas dan ke bawah. Jika semua arah ia ditahan, ia akan
menunggu untuk menghancurkan banteng penghalang. Hari ini, rampasan
tentera di Mesir hanya akan menyaksikan kebangkitan lebih besar rakyat
Mesir menghancurkan gerombolan secular yang berhajat untuk kembali ke
tampuk kuasa.
Saya yakin, Amerika dan Israel akan berterusan
memainkan jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan
demokrasi namun apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka
akan mencabul demokrasi. Lihat sahaja, adakah mereka menghormati
pilihan rakyat di Algeria ketika FIS digulingkan? Adakah mereka
menghormati pilihan rakyat ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk
berkuasa di Turki? Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat
ketika Hamas memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada
prinsip demokrasi?
Itulah Yahudi dan Amerika. Justeru, mereka
yang tidak menghormati pilihan rakyat secara demokrasi dan berusaha
menggulingkan kerajaan sah dengan membeli wakil rakyat dan sebagainya
adalah saudara mara kepada Yahudi dan Amerika. Tidak ketinggalan juga
yang melakukan penipuan besar-besaran di dalam pilihanraya lalu mendakwa
inilah demokrasi, pun tergolong dalam golongan yang sama.
Berdoalah. Semua pencinta Islam wajib berdoa agar dikembalikan semula pemerintahan Mesir kepada yang berhak.
Salam hormat.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 27 Syaaban 1434H bersamaan 6 Julai 2013M
No comments:
Post a Comment